Cintaku Luruh di Oxford

16:42

Aku baru habiskan sebuah novel yang tajuknya memang menarik perhatianku, tengok nama penulis-penulisnya terus membuatkan aku tidak sabar mahu menghabiskannya. Penggunaan Bahasa Melayu yang mantap dan menarik. Aku berharap aku dapat menggilap kemahiran berbahasa Melayuku agar sebaik begitu. Tajuk novel tersebut seperti yang tertera pada tajuk entri ini, Cintaku Luruh di Oxford. Penulisnya ada dua orang, pasangan suami isteri: Noor Suraya dan Imaen.

Aku jarang sekali membuat ulasan untuk novel-novel yang aku baca. Kalau aku sudah membuat alasan, maknanya novel ini sangat bagus daripada segi bahasa, material dan jalan ceritanya.

Isu-isu semasa dan sejarah turut dikupas dengan santai sekali. Aku akui aku ini seorang yang agak payah dalam menghadamkan bahan bacaan yang serius. Contohnya Ekonomi, tetapi melalui novel ini aku dapati subjek Ekonomi itu menarik.

Apa yang buat aku rasa dekat dengan novel ini adalah latar tempat yang dipaparkan sangat dekat dengan diriku. Zuha dan Falah bertemu di tanah Oxford pada suatu musim luruh. Zaman kanak-kanak dulu, siapa yang tak pernah berangan-angan mahu belajar di Oxford? Seronoknya kalau dapat melihat pemandangan musim luruh, pokok-pokok, daun-daun. Pasti sangat cantik! 

Disebabkan masalah keluarganya, Zuha terpaksa menarik diri daripada meneruskan pelajarannya. Lalu dia pulang ke Malaysia dan menyambung pelajarannya di sebuah universiti tempatan di Malaysia yang kebetulannya merupakan universiti di mana aku berada sekarang. Yang membuatkan aku rasa lagi seronok, Zuha juga belajar di dalam bidang yang sama dengan aku. *Tengah membayangkan Zuha adalah senior aku. Sedangkan pelajar senior dan junior untuk jurusanku memang langsung tidak kenal antara satu sama lain.

Latar tempat seterusnya yang memikat hatiku adalah Bandar Warisan Taiping yang sangat indah itu. Aku sangat suka pada keindahan dan kesegaran udara di Taiping. Kawasan paling lembap di Malaysia. Lagi-lagi pada Taman Tasik Taiping. Seronoknya kalau dapat duduk bersantai sambil membaca di sana. *Berangan lagi.



Zuha juga sempat berbakti sebagai seorang guru pelatih di sebuah sekolah menegah di Estet Bukit Dussex. Dalam novel ini juga ditekankan, bahawa tidak semestinya pandai berbahasa Inggeris membuatkan Zuha lupa pada bahasa ibu kandungnya. Itulah yang aku sedang cuba sekarang, memantapkan kemahiran Bahasa Melayuku disamping mempelajari Bahasa Inggeris. 

Isu yang menarik perhatian aku adalah, mentaliti sebilangan masyarakat bahawa pelajar aliran sastera adalah kurang cerdik perlu diubah. Sampai bila bangsa Melayu mahu malu apabila menyatakan bahawa dia mendalami sastera Melayu? Bagi aku, pelajar sastera ini bijak pandai. Kalau tidak mahu percaya, cuba terjemahkan sebuah sajak kepada maksud yang mudah difahami. Tak banyak pun, sebuah sahaja yang aku pinta.

Kalau subjek Sains itu, bagiku senang sahaja. Baca buku, faham dan cuba amalkan. Kalau Matematik pula, latihan demi latihan sudah dapat memberi kau satu A+. *Okay ini melebih-lebih sedikit. Susah juga sebenarnya subjek Sains dan Matematik tu tapi aku tetap gagal kalau mahu meleraikan sajak atau puisi.

Aku tidak mahu memperlekehkan orang yang mendalami bahasa anak bangsa sendiri tetapi masalah yang merunsingkan aku sekarang, bakal-bakal guru Bahasa Melayu sendiri tidak menggunakan Bahasa Melayu dengan betul. Contoh terdekat, dapat dilihat di laman Facebook. 

"Tit3w ch4yunk aw4k k3t4t-k3t4t"

Aku akui penggunaan bahasa aku dahulu agak "rempit" juga. Contohnya menggabungkan huruf dan nombor selain daripada menyingkatkan patah perkataan, tapi manusia boleh berubah. Aku harap mereka ditiupkan angin kesedaran agar pulang ke pangkal jalan untuk memartabatkan Bahasa Melayu. Macam mana mahu pandai bahasa lain, kalau bahasa sendiri pun sudah tunggang-langgang?

Okey. Aku mahu berhenti daripada memberi komen. Anda boleh dapatkan novel itu di SINI.

You Might Also Like

0 comments